Plezz Leave Your Link..I'll follow u back ^_^

Thursday, March 10, 2011

cerpen


CINTA TAK BERWAJAH

Sekian lama aku memperhatikan gelagatnya, gadis itu masih juga di situ, tidak ada tanda-tanda untuk dia beranjak pergi. Sesekali aku mencuri pandang rintik putih yang gugur menuruni lurah pipi yang gebu itu. Tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang, gadis itu terus menangis. Cantik juga, ada gelombang merambat di dalam dadaku. Namun kecantikannya pudar dihanyutkan oleh airmata.

Aku terasa ada getaran halus menyentuh dawai-dawai hatiku. Lantas, gadis manis itu kuhampiri

Sedikit tersentak gadis itu, bila menyedari kehadiranku. Seperti seorang kakak yang mengerti naluri adik kecintaannya, aku membelai rambut gadis itu. Tiba-tiba dia menghantar sendu yang semakin dalam ke ruang dada.

“Mengapa menangis dik? Apakah yang telah membuat hatimu tercalar begini?” Gadis itu mengangkat mukanya perlahan-lahan. Jelas memperlihatkan wajah yang cukup muda untuk menanggung penderitaan yang cukup berat. Matanya yang comel seperti mata kelinci itu juga mula membengkak. Gadis itu menjawab dengan suara perlahan namun dapat juga kutangkap kata-katanya.

“Adik, telah putus cinta kak.” Jawapan yang telah kusedia maklum dari awal walau intipati ceritanya belum aku ketahui

“Adik amat mencintai dia. Dia adalah cinta pertama adik. Namun akhirnya adik terpaksa meninggalkan dia. Adik tinggalkan dia kak.”

“Mengapa begitu dik? Mengapa membiarkan sahaja cinta itu berlalu sedangkan hati merasa amat sakit sekali.” Gadis itu memandang jauh ke depan seperti ada jawapan pada lantera di hujung kaki langit. Lama dia berdiam dengan ekor mata yang amat redup. Aku tetap tidak beranjak dari tangga batu itu. Inginku selongkar selingkar kisah yang menjerut tangkai hati gadis ini. Akhirnya dia kembali bercerita kisah dukanya.

“Kak, adik tinggalkan dia kerana adik merasakan usia adik terlalu mentah untuk bercinta. Adik takut juga jika dia tidak mampu membahagiakan adik. Maka atas alasan kosong itu adik tinggalkan dia. Mulanya adik fikir adik kuat menghadapi perpisahan ini. Adik ingat adik boleh hidup tanpa rasa cinta. Tapi lihatlah apa yang terjadi, adik menyesali perpisahan dan mula kenal erti rindu. Alangkah egonya diri adik ini.” Aku mendengar dengan teliti butir bicara gadis itu. Aku mengerti dia sebenarnya berada di hujung kekeliruan. Masih belum cukup kenal apa maknanya cinta.

“Dik, mahukah adik mendengar satu kisah cinta tak berwajah?" Aku bertanya.

“Kisah apakah itu kak? Ya, adik ingin mendengarnya.” Gadis itu mengiyakan.

"Beberapa tahun lalu ada seorang gadis bernama Farisha. Dia telah berkenalan dengan Fikri, seorang yang menarik dan unik sifatnya melalui chatting dalam internet. Mereka sama-sama gemar berpuisi, menulis dan suka bergurau . Mereka menjadi sahabat yang sedia berkongsi apa juga masalah."

“Kemudian bagaimana kak? Bercintakah si Farisha itu dengan Fikri?” Gadis itu tiba-tiba menyampuk kerancakanku bercerita. Kulihat matanya tidak lagi banjir oleh manik putih. Malah penuh tanda tanya dan sifat ingin tahu yang memuncak. Seketika, aku biarkan gadis itu dengan persoalannya. Kusambung kembali kisah cinta ini.

"Kian tahun persahabatan mereka kian akrab. Segala cerita suka dan duka dikongsi bersama. Namun dalam tempoh itu, mereka tidak pernah bertemu walau sekali. Sekadar berhubung melalui sms, email atau chating. Mereka sama-sama memutuskan untuk tidak ingin berjumpa. Kerana pertemuan hanyalah mengundang sakit hati saat masing-masing ingin pamitan. Namun rupanya persahabatan itu bertukar menjadi cerita lain pula." Aku menghela nafas dan meneguk sisa air liur yang tertakung. Kulihat gadis itu tidak berpuashati dan meminta aku menyambung cerita lagi.

“Kak, teruskan bercerita. Adik ingin tahu apa yang terjadi pada mereka.”

"Persahabatan itu telah mengundang rasa cinta pada diri Fikri. Dia tenggelam timbul dalam lautan asmara yang memanah naluri lelakinya. Rasa cinta itu membuat dia berani menyuarakan hasrat menyunting bunga bernama Farisha. Lalu petang yang sepi itu dia menghubungi Farisha."

“Farisha, aku ingin bersemuka denganmu, kita jumpa.” Fikri meluahkan hasratnya.

“Untuk apa Fikri? Bukankah kita telah memutuskan untuk tidak bertemu. Kau juga pernah mengatakan bahawa persahabatan boleh hidup tanpa pertemuan.” Kata Farisha.

"Maafkan aku. Tapi kali ini aku merasakan amat perlu menemuimu. Ada sesuatu yang ingin kuluahkan.” kata Fikri terus dengan hasratnya.

“Luahkan saja di sini. Selama ini pun kita hanya berbicara di sini." Tegas Farisha.

Aku meneguk air mineral yang masih berbaki di dalam botol. Aku jadi dahaga pula setelah kian banyak berbicara. Kali ini gadis itu lebih sabar menunggu kisah itu disambung. Aku menarik nafas cukup panjang sekadar untuk mencari kekuatan. Sesaat kemudian kisah itu kusambung lagi.

“Farisha aku jatuh cinta padamu. Jatuh cinta pada ketinggian budimu. Kau banyak memberikan aku semangat setelah percintaanku dulu lebur. Kau katakan padaku bahawa hidup bukan sekadar untuk diteruskan tapi harus diperjuangkan. Katamu, relakan saja jika cinta itu memilih untuk pergi. Kerana cinta yang ikhlas tidak akan membuat jiwa merasa menangis dan terhiris. Cinta adalah untuk membangkitkan kekuatan dan bukan untuk menghinakan diri sendiri. Itu yang kau katakan Farisha, saat aku berduka ketika orang yang aku cintai mengikut lelaki lain. Akhirnya aku mengerti, Tuhan telah sembunyikan mentari semata-mata untuk menghadiahkanku pelangi. Kaulah pelangi itu Farisha.” Fikri terus meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Wah, Fikri seorang yang sangat romatik kak. Pasti Farisha menerimanya kan.” Belum sempat aku menyambung cerita, gadis itu lebih dulu memotong dengan senyum di bibir. Mungkin dia terbayang cerita Hindustan yang bermula dengan persengketaan dan berakhir dengan peleraian yang cukup manis. Menari dari satu lembah ke satu lembah dengan ratusan gubahan lagu yang asyik.

“Tidak dik. Farisha menolak cintanya mentah-mentah. Seperti dirimu juga, dia terlalu egois kerana dia menyangka dia boleh hidup tanpa cinta. Dia takut bercinta, takut jika tidak menemukan kebahagiaan. Maka atas alasan remeh itu dia tinggalkan saja ikatan itu tanpa bersambut.

Hari demi hari persahabatan mereka kian renggang. Farisha tidak pernah lagi menyambut panggilan, membalas sms dan juga email dari Fikri. Dia biarkan saja lelaki itu terkapai-kapai dihanyutkan gelombang emosi yang sakit. Dia nekad memutuskan persahabatan itu. Akhirnya persahabatan itu lenyap sama sekali dari muka bumi.

Tahun demi tahun berlalu dengan usia yang kian beranjak. Esok genap tiga tahun perpisahan antara mereka. Setelah Fikri pergi dari hidupnya, Farisha merasa sunyi sekali. Dia merasa rindu yang teramat hingga membuat batinnya menangis. Siang malam dia berdoa semoga persahabatan itu kembali terjalin. Kini, dia pula benar-benar jatuh cinta pada Fikri."

“Benarkah Farisha jatuh cinta? Kalau begitu, kenapa dia tidak menghubungi Fikri saja kak?" Soal gadis itu.

“Sudah dik, berkali-kali dia menghubungi Fikri namun gagal. Nombor telefonnya tidak aktif lagi.” Kataku.

“Kan dia punya alamat email Fikri kak. Kenapa dia tidak mengirim email saja?” Soal gadis itu lagi.

“Farisha telah memadam semua email Fikri yang tersimpan di dalam emailnya termasuk alamat email Fikri juga.” Aku menjawab.

“Lantas kisah ini tamat di sini saja?” Gadis itu menyoal seolah-olah tidak berpuas hati dengan peleraian cerita tersebut.

“Tidak dik, kisah ini belum tamat.” Kulihat mata gadis itu kembali bersinar seperti cahaya mentari yang sedang tegak di atas kepala dan mengundang banjir peluh yang cukup banyak. Aku meneruskan cerita.

"Tiga tahun Farisha mencari Fikri namun pencariannya gagal. Akhirnya pada saat dia benar-benar putus asa, dia mendapat sebuah hadiah yang tak ternilai harganya. Pagi itu Farisha membuka kotak emailnya. Tertera nama pengirim yang pernah sebati dalam hidupnya. Email itu dibuka dengan penuh debaran.

Farisha, maafkan aku kerana tiba-tiba sahaja mengirim email ini buatmu. Aku merinduimu Farisha. Tiga tahun aku belajar untuk melupakanmu dengan mengembara ke negara asing, namun aku gagal. Ingatan dan rindu itu menjadi satu hingga membuat aku kaku untuk melangkah. Sudah berumah tanggakah kau Farisha? Semoga sahaja kau bahagia dan ceria menghadapi hidup ini. Aku masih seperti dulu. Masih Fikri yang sama dengan impian dan cita-cita melangit untuk memiliki seorang gadis bernama Farisha. Balaslah email ini Farisha, walau hanya sepatah perkataan kau tulis aku cukup bahagia.”

Gadis itu tergelak. Aku hampir terlupa bahawa ada gadis manis yang duduk di sisiku kerana terlalu asyik bercerita.

“Teruskan ceritanya kak.” Pinta gadis manja itu.

"Email itu membuat hati Farisha kembali berbunga mekar dan mewangi. Kali ini dia tidak berfikir lama untuk meluahkan isi hatinya. Penantian selama tiga tahun itu membuahkan hasil yang cukup manis. Dia menerima kehadiran Fikri dengan seluruh rasa syukur dan gembira. Bermula episod baru, dengan ikatan cinta yang kian mendalam. Kemudian mereka memutuskan untuk mengatur pertemuan pertama hujung bulan tersebut.

Cinta telah membuat hidup Farisha berubah. Dia menjadi ceria dan ringan mulut untuk bertegur sapa dengan semua orang walaupun ada di antaranya yang tidak dia kenali sama sekali. Seperti ingin dia jeritkan di telinga mereka tentang kebahagiaan yang dia rasakan. Dia ingin berkongsi tentang rasa itu pada semua orang. Tidurnya tidak pernah lena kerana ada saja khayalan indah yang datang menyucuk-nyucuk akalnya.

Alangkah bahagianya Farisha saat itu. Sebolehnya dia ingin memiliki sepasang sayap yang boleh membawanya terbang menemui teruna hatinya. Menghantar rindu yang kian kuat bertamu. Memuntahkan lahar sayang disulami mutiara-mutiara cinta yang akhirnya menjelmakan sebuah kenangan manis. Namun impian hanya impian belaka jika takdir memintas segalanya.

Malam itu Farisha menerima sebuah panggilan kecemasan dari seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai sepupu Fikri.

“Fikri ditimpa kemalangan jalan raya. Sekarang dia dalam keadaan kritikal.” Kedengaran suara seorang lelaki dalam telepon.

Malam itu juga Farisha mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur dengan doa yang tak putus semoga Fikri melepasi saat-saat kritikal.

“Ya Tuhan, ini adalah pertemuan kami yang pertama, jangan jadikannya yang terakhir.” Air matanya kian deras dan sendu yang kian meninggi.

Kaku, bisu dan cedera parah hanya itu gambaran yang dapat dia berikan sesaat melihat tubuh Fikri. Amat lemah sekali hinggakan dia tidak segan menangis, teresak-esak. Jari-jari Fikri digenggam erat. Dikucupnya jemari itu dengan harapan Fikri menyedari kehadirannya. Namun, tubuh yang tak berdaya itu akhirnya akur dan menyerah pada suratan azali menyahut panggilan kubur. Fikri telah pergi dengan membawa cintanya."

“Dik, kisah ini sudah tamat. Maafkan kakak kerana membuatmu sedih. Ambillah iktibar dari cerita ini dik. Jangan menolak jika cinta itu memilih untuk singgah di hatimu jika sesungguhnya jiwamu tidak merelakan cinta itu pergi. Terimalah dia seadanya.” Seperti tersekat-sekat suaraku berkata.

Aku lihat gadis itu menangis dengan penuh dramatik. Dia merenungku cukup dalam dan kemudian memelukku erat. Aku membalas pelukannya.

"Terima kasih kak kerana menceritakan sebuah kisah yang memberikan kesan abadi dalam diri adik.” Gadis itu menghulur tangan untuk bersalaman. Aku menggangguk dan meminta izin untuk pergi setelah kisah itu tamat kuhikayatkan. Aku melangkah menuruni tangga batu itu dengan hadirnya suara di hujung kuping telingaku. Cukup jelas pengucapannya.

“Kau kisahkan lagi cerita kita pada gadis itu Farisha?”

“Ya Fikri, aku akan terus menceritakan kisah kita itu pada sesiapapun juga yang sudi mendengarnya."

Angin bertiup membelai tubuhku dan aku menikmatinya seolah-olah itu adalah dakapan dari seorang lelaki yang mengajar aku menulis puisi dan mengenalkan aku makna rindu. Fikri, semoga damai menemani kau di sana. Aku berganjak pergi, lantas airmataku gugur satu satu.

TAMAT.


MENCARI ADAM

Kenapa ya?

Malam tadi aku diganggu mimpi ketemu dia. Padahal dia bukan siapa-siapa. Aku tidak tahu siapa dia. Jauh sekali namanya. Tapi...sentuhan dia di pipi yang menyapu air mata aku terasa hangat. Bagai sudah bertahun kenal. Tiada bicara. Cuma bertukar pandang dan senyuman. Itu sudah cukup buat dia pujuk aku.

Seolah dia tahu aku begini.

Namun aku cuba untuk lupakan dia. Mama kata, dalam keadaan aku begini makhluk terlaknat senang saja menggoda dalam pelbagai bentuk. Mama mahu aku kuat. Bagaimana harus aku kuat kalau aku lihat mama sendiri tak keruan? Bagaimana harus aku kuat sedang aku lihat papa keluar ketika aku mengaduh kesakitan? Bagaimana harus aku kuat jika adik datang memberikan coklat dengan mata sembap?

Dua tahun lalu.

Detik pertama kali aku rasa manusia sebertuah aku menjadi malang. Umpama kau yang sentiasa gagal dalam ujian fizik tingkatan empat, tiba-tiba entah datang tuah dari mana dapat lesen juruterbang penerbangan antarabangsa tapi dalam tiga minit di udara kau dihubungi oleh ground control mengatakan lesen ditarik kembali kerana sekolah penerbangan kau tidak diiktiraf.

Aku rasa begitu.

Doktor kata masih boleh dirawat. Belum terlambat. Jadi aku ceritakan pada mama. Pada papa. Pada adik. Belum pada lelaki itu. Semua orang nampaknya menyokong aku. Tapi bila aku beritahu berita ini pada lelaki itu, dengan mudah dia hilang tanpa khabar berita.

Sejak itu aku bertangis. Tangis lagi walaupun aku tak perlu. Walaupun aku tahu kalaulah sejuta lelaki pergi dari hidup aku, yang tiga itu masih setia. sejak itu juga aku makin teruk.

Adik aku lelaki. tapi sebab dia ada aku sebagai kakak, jiwanya amat mudah tersentuh. oleh sebab dia ramai kawan perempuan (dia sentiasa tekankan mereka cuma kawan, bukan dia yang buaya darat) dia cepat memahami aku. Waktu lepas rawatan dia duduk sama aku. Waktu lepas mandi dia sarapan sama aku. Jujur aku beritahu, dia yang habiskan makanan hospital dan dia beri aku makan bihun goreng cuka yang mama kirim. Dia juga yang banyak kongsi rasa dengan aku.

Aku lelaki, kak. Aku tahu lelaki yang tinggalkan kau masa susah bukan lelaki yang baik.

Setitis air mata jatuh. Hati aku masih sakit. Kalaulah dia faham perasaan aku yang ingin disayangi oleh seorang lelaki... mungkin dia tahu kerana aku selalu mengadu sunyi. Rahsia yang dia dan aku simpan dari pengetahuan mama. Sebab dia sentiasa kata bahawa cinta aku akan datang juga, tak kiralah bila-bila atau mana-mana.

Tapi kau tahu kan aku macam mana?

Tahu.

Jadi? Aku tak banyak masa.

Kalau cinta tu tak ada di sini, mungkin dia sedang tunggu kau di syurga. Kau ada kerana dia ada. Kan hawa tu dari rusuk adamnya?

Oh? Begitu? Aku terlalu tenggelam dalam pedih hingga sudah lupa fitrah itu. Jadi setiap malam selepas solat aku pinta pada Tuhan. Tolonglah ketemukan aku dengan Adamku. Isikan satu ruang dalam jiwa aku yang sudah lama kosong ini.

Selepas tiga malam aku mula bermimpi tentang dia. Dan semalam adalah kali kelima. Dalam mimpi itu aku berdiri sama dia di tepi tasik yang luas. Indah... aku bebas berjalan. Tiada tiub biru yang ditebuk doktor di belakangku ini yang fungsinya untuk menyedut cecair yang memasuki paru-paru. Tiada IV drip terpasang di tangan kiriku. rambut tidak botak. Kulit tidak pucat.

Aku bagai aku dua tahun lepas.

Aku harap malam ini juga dapat ketemu dia. Dia ubat duka aku dengan hanya hangatnya renungan mata. Hiburkan aku dengan sinarnya senyuman dia.

Aku penat, adik. Aku tidur dulu. kalau kau datang pagi nanti bawakan aku susu coklat dan sandwich saja oke? Itu aku pesan dalam mesej teks untuk adik. Lalu aku pejam mata.

*  *  *  *  *  *

Panggilan dari hospital bukanlah sesuatu yang asing bagi keluarga ini. Namun panggilan jam 5 pagi tadi cukup buat mama dan papa bertangis sedih.

Tuan, saya minta maaf. anak perempuan tuan sudah tiada. jam 4:58 pagi. Dia pergi ketika tidur. Tiada komplikasi dari kansernya.

Adik cuma membisu. Sewaktu menyiram air mawar, dia doakan kakaknya bertemu si Adam yang ditunggu-tunggu. Semoga kakaknya bahagia.

Tamat..


MATAHARI

Matahari masih tergantung benar-benar di pusat langit.Awan-awan basah sudah kering di jemuran.Langsung tiada peluang untuk turun menyimbah gersang-gersang kontang di bumi.Yang tinggal,sisa baki nya yang melimpah ruah menekap di baju ; peluh.

Aku berjalan perlahan-lahan.Cahaya matahari mula membakar sendiri segenap kulit tubuh lalu hangus,dimamah mentari.Peluh menitik dari dahi meluncur ke dagu dan terjuntai perlahan di hujung janggut remaja,yang bersepah hingga ke pipi.Bila tubuh ku tergoncang meminta perjalanan lebih cermat,embun masin itu tertanggal dari hujung nya dan jatuh bersepah ke atas tar.Terus tersejat dek haba memukau yang memeningkan.

Sesampai nya di rumah,beg sekolah,aku biar kan di tepi tangga.Uniform putih aku tanggal kan satu per satu.

Sofa usang yang sudah ada sejak aku lahir,menjerit-jerit meminta di tindih.Meminta di main kan.Meminta di guna.Jadi,aku hampar kan segala kepenatan yang sejak pagi tadi,ke atas nya.Ada suara keseronok kan dari hujung sofa itu.

Dari arah dapur,aku terdengar bunyi minyak yang memercik membuih kan kepanasan.Dan tidak lama selepas itu,aroma ikan masin menerpa menceroboh setiap rongga untuk menerima bau bacin itu.Sudah pasti jiran di sebelah belakang yang melaku kan kekacauan seperti itu.Tapi biar lah.Ikan masin sudah jadi sebati bau nya,dengan bau aku.

Aku terus ke dapur,menjerang air.

Sesudah itu,aku terus ke bilik air,membasah kan badan.Air terjun mencurah-curah ke ubun-ubun dan mendingin kan segala anggota ku yang bernyawa.Aku sedang bersila di bawah terpaan itu.Sedikit-sedikit air paip memasuki mulut ku dan menjadi liur ku sendiri.

Selepas 10 minit di dalam posisi itu,aku lekas bangkit mengering kan badan,dan terus ke katil.Kipas siling yang berpusing seolah menari-nari meminta perhatian.Angin yang ter hasil meniup ruang bilik ku dan menerjah wap-wap panas keluar terus ke tingkap.Wap-wap itu menangis untuk tidak dihalau.Mungkin tiada silap nya untuk dia terus menjadi penghuni bilik ku.Tapi,kehadiran nya buat aku rimas.Jadi,selamat tinggal.

Di bawah keselesaan itu,aku tertidur.

Di dalam tidur ku,aku bermimpi sesuatu yang aneh.Tentang bumi yang semakin hari semakin hampir dengan matahari.Lalu matahari menyumpah bumi dengan tiada satu pun air di tanah ini.

Orang ramai hidup dengan penuh seksa.Petani-petani menangis kehilangan sumber pendapatan.Para nelayan sekadar terjelupuk kebingungan melihat laut yang kering kontang.Haiwan ternakan semua mati kebuluran.Tanah menjadi tandus.Merekah-rekah.

Negara-negara besar mula menjadi kan air sebagai isu utama untuk memulakan peperangan.Air,lebih mahal dari minyak,dari rokok,dari seks,dan semua keperluan harian.

"Macamana mahu mandi kalau air takda.?"kata seorang artis popular yang sudah beberapa minggu tidak menyuci kan diri.

Bumi mula huru-hara.Ketiadaan air menjadi kan semua orang saling bermusuhan kerana berebut kan sumber itu.

Di tambah pula dengan keadaan yang semakin panas.

YA.!

Di sebab kan cuaca yang semakin panas,air mulai tersejat.Sehingga air laut pun kontang di bedal kegeringan.

Lalu seluruh negara bersatu,dan membincang kan hal ini.Tapi,sememang nya sudah tiada jalan penyelesaian.Mereka kembali bertelagah.

Dan di saat itu,aku terjaga dari mimpi buruk.Badan ku berpeluh.Katil sudah di penuhi air-air yang bertakung dek kepanasan.Kipas yang pesat berpusing pun tidak dapat menjamin keselesaan ku kini.

Aku keluar dari bilik dan ke dapur mencari air.

Air yang ku jerang sebentar tadi,sudah tiada,hanya tinggal cerek.Aku terlupa untuk menutup api.Jadi,air terus tersejat dan hilang begitu sahaja.Aku kebingungan.

Tiba-tiba,timbul perasaan yang aneh di dalam diri.Seperti mimpiku tadi,jadi...

Aku terus keluar dari rumah.Dan di bawah cahaya matahari yang mencair kan seluruh hidupan di bumi,aku lihat,hanya rumah ku,dan aku,masih berdiri.Yang lain nya,sudah hilang melebur.


No comments:

Post a Comment

Terbaik Dari Ladang Hijau

Kalau ang rasa berani, cantik @ hensem..komen rr

Hubungan Blog 1 Dunia....Thank You so much :))

free counters